Apa beza takaful dan insurans ? Banyak perbezaan, dan ada segelintir masyarakat kita ambil mudah dalam membuat keputusan melanggan pelan atau produk yang tidak patuh syariah.
Untuk lebih faham beza takaful dan insurans, kita hendaklah faham terma-terma yang wujud dalam pengurusan produk takaful dan insurans
Takaful
Takaful ialah pelan perlindungan berdasarkan prinsip syariah. Dengan mencarum (tabarru’) sejumlah wang ke dalam takaful, seseorang secara langsung memeterai sejenis kontrak (aqad) atas persetujuan saling membantu di antara satu sama lain apabila seseorang peserta mengalami kerugian tertentu.
Syariah
Sistem takaful bebas dari elemen riba dan unsur lain yang dilarang. Sebaliknya, ia mengandungi unsur mudaraba, tabarru’ dan beberapa unsur syariah lain juga.
Mekanisme operasi dan produk takaful pula mestilah bukan sahaja patuh syariah, malah selaras dengan undang-undang negara dan peraturan insurans yang sudah ditetapkan pihak berkuasa.
Aset lulus syariah
Dana tersebut akan dilaburkan di mana-mana aset yang diluluskan syariah serta mematuhi semua peraturan dan undang-undang berkaitan.
Akad
Perbezaan paling ketara di antara takaful dan insurans ialah dari segi “akad”. Akad inilah yang menentukan ia halal atau haram.
Akad ini juga dianggap sebagai satu transaksi jual beli.
Mekanisme
Mekanisme operasi takaful juga seiring dengan peraturan yang ditetapkan syariah.
Premium dan keuntungan
Premium yang dibayar dalam sistem ini dianggap sebagai derma (tabarru’) dan penjimatan (mudaraba).
Manakala keuntungan daripada sistem itu akan diagihkan kepada pemegang polisi.
Insurans
Insurans pula ialah pemindahan risiko daripada individu atau organisasi kepada syarikat insurans.
Dalam sistem ini, individu atau organisasi dikategorikan sebagai pemegang polisi.
Dengan itu, individu atau organisasi akan membayar premium kepada syarikat insurans dan jika individu atau organisasi mengalami sebarang kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada kedua-dua pihak ini.
Riba
Sistem insurans mungkin membabitkan unsur riba dan beberapa unsur lain yang tidak selaras dengan syariah.
Mekanisme
Mekanisme, operasi, produk dan transaksi insurans juga terikat dengan beberapa peruntukan undang-undang dan peraturan insurans yang sudah sedia digubal.
Pelaburan
Dana insurans mungkin dilaburkan di mana-mana syarikat yang menguruskan aset tidak patuh syariah asalkan ia menepati peraturan dan undang-undang insurans sedia ada.
Keuntungan
Dalam sistem insurans, pemegang polisi tidak mendapat apa-apa bahagian daripada keuntungan syarikat.
Islam dan konvensional
Dalam hal ini, sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran tauhid sepatutnya dapat menerima hakikat bahawa insurans berasaskan sistem konvensional mengandungi unsur riba dan wajib dielakkan.
Dalam kata lain, umat Islam wajib memilih takaful yang sudah sahih menepati syariah serta bebas sebarang unsur riba dan unsur lain yang dilarang.