Apa itu takaful hayat ?
Perkataan “takaful” itu sendiri berasal daripada istilah Arab “kafala” yang bermaksud “jamin”.
Dari sini, takaful membawa pengertian “saling menjamin”.
Sistem takaful berlandaskan konsep saling menjamin di antara satu sama lain yang bertujuan mengalakkan tolong menolong dan perpaduan di kalangan para peserta apabila berlaku sesuatu musibah atau kerugian.
Konsep saling membantu dan menjamin ini sangat bertepatan dengan saranan agama, termasuklah seperti ditegaskan menerusi firman Allah swt bermaksud:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. (al-Maidah: 2)”
Kepentingan takaful hayat
Apa perlunya takaful hayat?
Apa kepentingan takaful hayat kepada diri peribadi dan keluarga?
Kepentingan 1: Persediaan mendepani risiko
Semua orang berhadapan dengan risiko sepanjang masa dan dalam hampir semua keadaan, termasuk risiko kemalangan, kecederaan, kelumpuhan, diserang penyakit, kematian dan sebagainya.
Justeru, perlindungan takaful sangat perlu bagi membolehkan kita bersedia dari segi kewangan untuk menghadapi semua atau mana-mana risiko berkenaan.
Maksudnya, apabila berlaku mana-mana hal terbabit, setidak-tidaknya kita atau pasangan dan anak-anak mendapat bantuan atau pampasan kewangan.
Kepentingan 2: Mendepani kos perubatan yang semakin tinggi
Hakikatnya kos perubatan di seluruh negara kini semakin tinggi. Malah, ada angka menunjukkan kos perubatan meningkat pada kadar 10 peratus setiap tahun.
Peningkatan ini sudah tentu menjadi satu tekanan berat, terutama kepada golongan berpendapatan pertengahan dan rendah.
Dan, biasanya simpanan, jika ada, tidak dapat menampung perbelanjaan rawatan yang kadang-kala mencecah ratusan ribu.
Dalam kes beginilah takaful menjadi sangat penting sebagai satu pelan mendepani kemungkinan kos perubatan yang tinggi.
Panduan : Memilik Medical Card Takaful Terbaik Untuk Keluarga
Kepentingan 3 : Melindungi harta atau aset peribadi
Aset peribadi seperti rumah, kenderaan dan sebagainya turut terdedah kepada risiko tertentu, termasuklah rosak dan hilang akibat kemalangan, kebakaran, kecurian dan sebagainya.
Dalam hal ini, takaful sangat bermanfaat sebagai satu instrumen perlindungan jika aset berkenaan rosak atau hilang bagi mengelak kita sebagai pemilik tidak perlu menanggung kerugian total.
Setidak-tidaknya, menerusi perlindungan takaful, akan ada sebahagian atau pampasan penuh jika berlaku kerosakan atau kehilangan mana-mana atau semua aset berkenaan.
Kepentingan lain
Banyak lagi kepentingan takaful hayat, termasuklah sebagai bentuk perlindungan ke atas pelaburan, pelan simpanan dan tabung pendidikan anak-anak.
Malah, takaful itu sendiri mampu mewujudkan ketenangan fikiran apabila soal kesejahteraan diri peribadi, keluarga serta aset-aset sedia ada sentiasa dilindungi.
Setiap satu bergantung kepada pelan atau polisi takaful yang diambil.