Perbezaan Di antara Hibah, Wasiat dan Faraid

Pelbagai istilah membabitkan harta pusaka kadang-kadang membuatkan ramai orang yang tidak mahir atau tidak biasa, keliru dengan maksud setiap istilah berkenaan.

Antara istilah itu ialah “hibah”, “wasiat” dan “faraid”.

Dalam tulisan ini, kita akan perincikan maksud setiap istilah berkenaan. Mari kita lihat dan fahami satu persatu.

Hibah

Hibah ialah pemberian sukarela atau hadiah yang dibuat atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan sebarang balasan sama ada kepada waris atau bukan waris.

Antara lain, hadiah dalam bentuk hibah ini dapat mengatasi masalah pertikaian pusaka selepas berlaku sesuatu kematian, terutama apabila wujud individu bukan waris, di dalam sesebuah keluarga, terutama anak angkat.

Malah, dalam kes ternetu, harta si mati mungkin dibekukan atau diletakkan di bawah organisasi amanah disebabkan ketiadaan waris.

Dalam hal ini, hibah mampu berfungsi dan digunakan sebelum seseorang meninggal dunia.

Baca : Apa Itu Hibah Takaful ? 

Wasiat

Wasiat pula ialah pemberian yang berlaku atau diberikan selepas seseorang meninggal dunia.

Ia adalah satu bentuk “perjanjian” yang diucapkan atau didokumenkan secara perundangan ketika seseorang masih hidup, tetapi pemberian itu hanya boleh berlaku setelah pewasiat berkenaan meninggal dunia.

Contoh mudah ialah seseorang berwasiat supaya separuh hartanya diserahkan kepada rumah anak yatim. Dengan wasiat itu maka pemberian mestilah berlaku setelah individu yang berwasiat itu meninggal dunia.

Untuk mudah difahami, wasiat berlaku selepas kematian, manakala hibah ketika seseorang masih hidup.

Hibah boleh berbentuk wasiat. Namun, tidak semua wasiat boleh menjadi hibah.

Faraid

Apa pula faraid? Faraid ialah ketetapan hukum mengikut perundangan Islam membabitkan pembahagian harta atau pusaka kepada waris berasaskan syarak.

Contohnya, jika seseorang tidak membuat sebarang perjanjian bertulis ketika beliau masih hidup membabitkan pemberian atau pewarisan hartanya, maka hartanya itu mesti diagihkan mengikut hukum faraid apabila beliau meninggal dunia.

Harta itu dinamakan sebagai harta pusaka yang mesti diagih mengikut ketetapan syarak. Ia mesti diagihkan kepada warisnya yang sah dan layak mengikut ketetapan hukum faraid.

Sering berlaku pertelingkahan dalam keluarga Islam sendiri disebabkan tidak puas hati terhadap pembahagian harta pusaka sehingga berlarutan di mahkamah.

Justeru, pembahagian mestilah dibuat mengikut ketetapan syarak, bukan berasaskan keadilan berdasarkan fikiran manusia.

Hibah di dalam takaful

Dalam usaha memastikan hibah dapat dilaksanakan secara teratur, kini wujud beberapa jenis sistem hibah bagi memastikan waris dan bukan waris dapat mewarisi harta secara sah dan adil menerusi takaful.

Sistem tersusun menerusi takaful ini patut dimanfaatkan oleh orang ramai bagi mengelak kesulitan, terutama selepas berlaku sesuatu kematian.

Baca : 5 Tip Memilih Pelan Hibah Takaful Terbaik

 

Hibah, Wasiat dan Faraid

One Reply to “Perbezaan Di antara Hibah, Wasiat dan Faraid”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *